Isnin, 22 Jun 2009

1MALAYSIA


Assalamualaikum..

Kerajaan perpaduan terus bergema lagi!!

Hmm tak tahu lah rasanya samada mereka akan bersatu atau tidak, tetapi yang pastinya antara tulisan tajuk utama Sinar harian minggu lepas adalah berkenaan kenyataan DSAI kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tiada sokongan lagi..Wah ironinya kalau benar sudah tiada sokongan seperti telahannya pun bukan nya dia mampu mengambil alih Malaysia!! Mahu buat projek 16 September lagikah ataupun 31 Ogos atau mungkin projek 11 September tarikh pembohongan Amerika paling besar dalam sejarah dunia?? Namun cerita kerajaan perpaduan ini banyak tertumpu diantara perbincangan UMNO dan PAS sahaja. Sejarahnya memang 'orang' UMNO dulu yang cakap pasal kerajaan perpaduan tapi mungkin dek kerana kurang sambutan semua pun dah zip mulut ketat-ketat. Namun kemudian ia bertiup lagi dan kali ini dari kem PAS tapi masih kurang jelas siapa yang beria sangat menyokong kerajaan perpaduan sehinggalah lafaz soreh dari mulut Presiden PAS sendiri yang pada mulanya hanya memberi kenyataan bahawa beliau tidak menolak kerajaan perpaduan jika ia membawa lebih kebaikan.

Namun di kem lain dalam PAS pula sibuk mahu mencantas golongan ulamak ataupun sekurang-kurangnya mereka sendiri anggap diri mereka sebegitu sehinggakan membawa pergolakan setibanya muktamar PAS baru-baru ini di stadium di Shah Alam. Satu pihak kata kerajaan perpaduan ini mainan media BN kononnya tapi ada satu calon timbalan presiden PAS ini pula mengatakan yang ada calon timbalan presiden PAS lain terlalu pro-muzakarah@ apa-apa nama lain yang diberikan.Hmm kenyataan yang seorang ini pula lagi hebat kononnya ada orang UMNO sudahpun masuk ke dalam PAS dan membawa kekacauan yang turut dikaitkan dengan rasuah politik. Sebenarnya jika diamati dari sudut mana sekalipun semuanya merupakan alasan semata-mata.. tidak lah diketahui samada kerajaan perpaduan ini merupakan kepentingan seperti yang sebenarnya atau sengaja dilakukan atas sebab 'tertentu'. Tetapi yang pasti Datuk Seri Perdana Menteri telah pun menyatakan reaksi positif terhadap perkembangan terbaru, disebalik pandangan peribadi saya yang skeptis, saya tetap ingin menyatakan sokongan terhadap idea penubuhan kerajaan perpaduan, malahan disebalik masalah dalaman BN selama ini beberapa parti komponen telahpun menyatakan sokongan secara terrbuka kepada gagasan idea tersebut termasuklah MCA.

Cuma satu perkara yang saya fikirkan amat penting untuk kita renungi adalah betapa pembentukan sebuah kesatuan perlulah ditunjangi dengan penuh rasa keikhlasan dan ketaqwaan serta tidak sepatutnya dilakukan semata-mata atas dasar kepentingan yang mendahului rakyat jelata. Saya tetap positif akan kemungkinan untuk BN menguasai PRU 13 dengan jayanya namun perancangan yang lebih bijak perlu dilaksanakan bagi meneruskan momentum sehingga PRU ke 14. Selalu sangat sesetengah perkara itu terlalu digesakan hingga kurang penilaian diberikan terhadap akibatnya, jika UMNO dan PAS perlu bersatu saya tetap berpandangan satu mekanisme baru perlu diikhtiarkan dan bukannya melihat hanya kepada kemasukan PAS dalam BN sahaja, ini lah sebab nya saya menyatakan bahawa kepentingan selain dari atas nama rakyat perlu dielakkan kerana jika ini tidak dipertimbangkan boleh jadi beberapa kemungkinan dan jalan alternatif lain kearah pembentukan kerajaan perpaduan boleh terbantut atau membawa kepada padah yang lebih buruk.

Itu lah juga sebabnya mengapa golongan pemimpin adalah sepatutnya merupakan mereka yang memimpin pengikutnya bukan nya dipimpin rakyat marhaen sebagaimana yang dilaung-laungkan sesetengah pihak. Pemimpin sewajarnya dari kalangan terpilih yang juga mempunyai kesempatan dan peluang untuk memperkenalkan gaya dan corak pemerintahan bagi memastikan survival negara bangsa tersebut, dan tentulah semua ini memerlukan kebijaksanaan melebihi yang lain sebaliknya setelah diberikan kuasa kesempatan dan peluang tetapi mereka gagal pula menggunakan ia sebaiknya dengan memperhambakan pula diri kepada mereka yang dangkal pemikiran maka wajarlah mereka ini diberi sedikit amaran dan peringatan.

Usia Malaysia masih lagi terlalu muda, maka masih ada ruang untuk fleksibiliti dalam bentuk pentadbiran, pemerintah wajar mengaplikasikan sepenuh kebijaksanaan dalam mengeksperimentasikan sebuah pentadbiran..Selagi rakyat merupakan keutamaan, insyaAllah kerajaan mentadir akan terus dirahmati serta diberkati Allah selain didoakan rakyat..


Ahad, 14 Jun 2009

REformaSi TerSUngkur di IRan


TEHERAN 13 Jun – Mahmoud Ahmadinejad memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya Presiden Iran semalam, sekali gus mempertahankan jawatannya untuk mengetuai kerajaan bagi tempoh empat tahun lagi, di sebalik dakwaan pencabar utamanya berlaku banyak penyelewengan...

Assalamualaikum,

Ini bukan suatu kejutan tetapi sememangnya takdir Allah telah menewaskan calon pro-reformasi bagi pemilihan presiden Iran, bekas Perdana Menteri Mirhossein Mousavi, disebalik petunjuk dari serata dunia yang meramalkan betapa Ahmadinejad bakal kalah akhirnya yang tersembam itu adalah Mousavi sendiri. Di atas kertas, Mousavi merupakan calon paling popular, kononnya mendapat sokongan padu dari pengundi muda dari seluruh pelosok Iran, di alam nyata Ayatollah Ali Khomeini pula dikatakan telah secara peribadi memilih untuk bekerjasama dengan Mousavi jika menjadi Presiden Iran yang baru tetapi reformasi tetap tewas!!!

Mousavi calon pro-reformasi telah berkali-kali menyatakan keinginannya untuk kembali merapatkan hubungan dengan US, maka siapakah yang menyokong cadangan ini???Tentulah sekali budak-budak hingusan yang kini sedang merusuh di Iran, malahan membaling batu kesana-sini, berdemonstrasi dan mengganggu kelancaran jalan raya di bandar-bandar besar. Ini lah budaya mereka sudahlah kalah sengaja pula melakukan perbuatan tidak bertamadun dan melempar fitnah terhadap orang lain, jika benar 'gentleman' mereka sepatutnya mengaku kekalahan dan melakukan langkah-langkah yang perlu seperti mengadakan post-mortem dan sebagainya, tidak mahu kalah dan dimalukan jangan lah bertanding!!! Pun begitu budaya pro-reformasi sememangnya semakin di rasuki satanisme, bukannya salah reformasi tidak baik tetapi ia telah diterima dengan penuh unsur yang tidak islamik yang datang dari barat..

Kekalahan reformasi di Iran ini merupakan petanda besar betapa reformasi masih belum cukup bersedia untuk mengambil tempat di negara-negara islam, lihatlah betapa banyak tayar yang telah dibakar manusia yang tidak menyayangi alam sekitar itu!! Keamanan semakin digugat kerana golongan pro-reformasi yang tidak matang dan kurang berhikmah ini. Maka demi islam bersamalah kita menolak golongan pro-reformasi yang tidak matang dan beralih lah kepada transformasi yang lebih menguntungkan. Kepada Pehin Seri Ketua Menteri Sarawak, janganlah bimbang, adakan sahaja pilihanraya pada tahun ini, kalah tak pa, menang pun dah dijangka...semoga rakyat akan menolak DSAI, PKR PAS DAP, mari mendoakan gelombang menolak reformasi berterusan ke Malaysia!! Bangkit menolak mereka, bangkit mempertahan kan islam haqiqi, bangkitlah rakyat Malaysia, bersama mempertahan kan bumi tercinta ini.

Rakyat masih diberikan peluang untuk memilih, maka pilihlah dengan cermat, Sarawak adalah harapan untuk mempertahan kerajaan yang ada, maka rakyat Sarawak perlulah memilih dengan tepat, gemakan suara anda, rapatkan barisan dan tolaklah sekutu pengkhianat negara, kuatkanlah semangat wahai saudara-saudara ku, teruskan perjuangan tanpa rasa gentar!!! Ingatlah pada Allah S.W.T di dalam setiap langkah..

Kearah 1malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam mencapai matlamat Wawasan 2020..

Dahulu Kini dan Selamanya..

Malaysiaku Gemilang!!!!

Khamis, 11 Jun 2009

SEPerTi LIliN

Assalamualaikum..


Kadangkala kita terlalu melihat pada kejayaan sehinggakan segala macam kepayahan yang terpaksa dilalui sepanjang perjalanan kurang dititik beratkan, seolahnya keputusan merupakan segalanya sehinggakan manusia alpa akan setiap perjuangan samada yang tersirat mahupun yang tersurat. Mustahil kita boleh melihat warna-warna dunia hanya di dalam hitam dan putih, salah dan betul ataupun berjaya mahupun gagal. Tentu sekali ada kelabunya, yakni proses dalam menuju kemantapan rohani tersebut. Namun sejauh manakah ia diambil kira??? Lebih mementingkan keputusan meskipun ia semata-mata keranan tuah?? Walaupun telah tersedia jalan kebenaran, tetapi dek kerana keputusan maka kita melakukan pilihan salah...Mungkinkah begitu mendewakan fizikal sehingga menjauhi santapan nurani, kulit lebih pentingkah dari isi?


Tidakkah kita pelajari sesungguhnya "ada dalam kalangan manusia di dunia yang kelihatan mengamalkan amalan ahli syurga pada penglihatan orang ramai tetapi sebenarnya dia adalah ahli neraka dan sebaliknya ada yang kelihatan dikhalayak ramai seolah-olah mengamalkan amalan ahli neraka tetapi sebenarnya dia merupakan ahli syurga di akhirat kelak”


Manusia mudah lupa, lupa akan segala kebaikan, manfaat dan faedah di dunia ini, sebaliknya dari 9 kebaikan disebalik 1 keburukan yang terukir, kita terlalu taksub menghebahkan yang buruk sehinggakan kebaikan kini lemas dalam kamus sehari-harian kita semua. Nampaknya marhaen semakin hanyut kedalam kesilapan demi kesilapan yang seakan tiada noktahnya. Mampukah kita semua melakukan pembetulan ini?


Jadilah seperti lilin, membakar diri bagi menerangi yang lain..


Tidak banyak yang mampu direncanakan namun jika kita tidak terlalu mementingkan diri maka laluan yang akan diharungi akan lebih diterangai cahaya sekaligus mengelakkan kesesatan dan kesilapan. Disebalik persoalan langkah perjuangan, kita mampu membantu yang lain kearah memperkasakan perjuangan mereka itu pula, walau pun kita berkemungkinan telah pun hilang kesempatan namun berilah peluang kepada mereka yang kita percayai untuk memperjuangkannya, selagi masih ada cahaya dihujung jalan kita mampu mengekalkan perjuangan itu.


Berkorban lah demi yang lain, demi yang lebih memerlukan, andai tiba saatnya nanti yakinkanlah diri untuk memilih jalan yang benar, dengan penuh kesedaran dan jiwa yang kental, utamakanlah kepentingan mengikut aturan sewajarnya. Bersatulah demi Malaysia yang tercinta..


1MALAYSIA....

Ahad, 7 Jun 2009

KepaDA sahabAT2 KU

Salam,

Pejam celik dan pejam serta celik kembali kini segalanya telahpun berubah, rakan-rakan yang pernah dikenali, malahan hatta suasana yang pernah dilalui bagaikan hilang takkan berganti..laksana bintang di malam hari, tiap kerdipan kadangkala merupakan yang terakhir disaat hayat bintang yang kita semua lihat..tiada lagi esok bagi menghayatinya dan tiada pula peluang yang kedua pada ketikanya..Namun manusia terlalu beruntung untuk mendapat kesenangan di muka bumi tuhan sehinggakan terlalu banyak peluang di lepaskan! Tidak kira sedar mahupun tidak semakin banyak yang semakin kehilangan berbanding yang dimanfaatkan, terlalu menumpukan suatu perkara sehinggakan yang lain hilang tak keruan..

Andai masa masih berbelas adakah kita bakal dilimpahinya, andai masih lagi ada kesempatan mungkinkah kita menghargainya??? Kini telah setahun dan program yang saya ikuti juga telahpun berakhir, dan sedikit masa lagi saya bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, samada suka mahupun duka banyak yang telah berubah dan tentu banyak lagi yang bakal turut sama, pernah terdetik persoalan betapa jauh kah lagi yang mampu ku langkah di sebalik perjuangan marhaen ini, tidak kira dijalan mana sekalipun kebenaran perlu selalu dipastikan bagi mengelak tersungkur di tengah jalan. Kepada sahabat-sahabat yang dikasihi, teruskan lah perjuangan dengan penuh keyakinan walau di mana sekalipun anda berada, ingatlah Allah sentiasa bersama dengan kita!!

Pada hari ini saya berkesempatan membaca tulisan kenalan blog saya saudara faridzul yang kini sedang menuntut di luar negara, sayu rasanya memikirkan masa depan nanti adakah lorong yang bakal saya tempuhi nanti juga seindah itu atau adakah ianya penuh dengan liku-liku??? Adakah sahabat-sahabat saya juga sedang berfikir panjang berkenaan hal ini???

Betulkah keputusan ini??
Kemanakah daku di kemudian hari??
Mungkinkah aku bakal berjaya??
Adakah perjuangan ini bakal tersungkur nanti??
Siapakah yang akan bersamaku??
Dan mungkin jauhkah lagi langkah ku ini???

Kepada yang memahami, tiada janji yang dapat ku beri namun maralah dengan gagah dan berjuang lah tanpa mengenal erti putus asa kerana pilihan ditangan anda!! Kita semua mampu menentukan arahnya sendiri namun biarlah tuhan mengadilinya..Jika sudah tiada esok yang mampu untuk diyakini, berpeganglah pada hari ini, kerana setiap saat merupakan rahmat dan setiap permasalahan merupakan peluang..Setiap kembara merupakan pengalaman yang berharga dan setiap kecederaan merupakan sumber kekuatan.

Lihatlah pada alam dalam setiap mimpi dan jaga mu, agar kamu dikurniai ilham dalam meneruskan kehidupan..Jangan takut dan gentar akan cabaran kerana itu membuatkan anda lebih tinggi darjat dalam arena kehidupan..

Kepada semua yang dikasihi, selamat berjuang dan semoga berjaya..

InsyaAllah...
O.N.E forever © 2008 Template by:
SkinCorner